Sunday, March 1, 2009

Mohd. Zan bengang tindakan Rames - Utusan

Mac 2, 2009

IPOH - Jurulatih Kuala Lumpur PLUS (KL PLUS), Mohd. Zan Mat Aris geram dengan tindakan melulu Rames Lai Ban Huat mengasari pemain Perak, Mohd. Saufi Saadi hingga dilayang kad merah dalam perlawanan Liga Super di Ipoh malam kelmarin.

Mohd Zan berkata, tindakan Rames itu telah memberi ruang kepada ruang kepada Perak untuk mencatat kemenangan 2-0 dalam perlawanan itu.

Beliau mengakui sukar untuk mencatur strategi perlawanan sebaik sahaja Rames diperintah keluar padang.

''Memang susah nak bermain dengan sepuluh pemain dan sekali gus menjejaskan rentak permainan," jelas Mohd. Zan di Ipoh.

Rames dilayangkan kad merah oleh pengadil, Shawal Sharif setelah mengkasari pemain tengah Perak, Mohd. Saufi pada minit ke-12.

"Walaupun pada separuh masa pertama, kami masih mampu menyaingi rentak permainan Perak tetapi kelebihan tetap berpihak kepada pasukan tuan rumah," tambah jurulatih KL PLUS itu.

Mohd. Zan mengakui kebangkitan Perak pada separuh masa kedua membuatkan KL Plus terpaksa bekerja keras bagi mengawasi serangan balas mengejut daripada barisan serangan Seladang.

Seladang melakukan serangan bertali arus melalui gandingan mantap antara Razali Umar Kandasamy, Isma Alif Mohd. Salim, Mohd. Saudi dan Mohd. Arsyah Mohd. Ayob.

Perak memperolehi gol pertama melalui rembatan kencang dari jarak 25 meter dilakukan oleh Mohd. Saufi pada minit ke-57.

Hasrat KL PLUS menyamakan kedudukan semakin sukar apabila Perak menambah jaringan melalui tendangan leret oleh Razali Umar pada minit ke-78.