Friday, October 9, 2009

Perak ke suku akhir jika atasi Kuala Lumpur - Utusan

10 Okt, 2009 Oleh HAMIMAH HAMID (sukan@utusan.com.my)

IPOH - Peluang Perak untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia cerah jika skuad Seladang menundukkan Kuala Lumpur malam ini.

Jurulatih Perak, M. Karathu berkata, pasukannya kini sudah melangkah separuh kaki dan yakin akan dapat mara ke suku akhir.

Perak kini mengumpul sembilan mata dan berada di tangga teratas Kumpulan C mengatasi Johor FC.

Ujar Karathu, dia tidak mensasarkan jumlah gol ketika menentang Kuala Lumpur malam ini, sebaliknya lebih berharap anak buahnya dapat membawa pulang tiga mata penuh dari Cheras, hari ini.

"Sekarang ini peluang kita ke suku akhir sudah 70 peratus. Peluang sudah ada di depan mata, apa yang saya mahu sekarang ialah anak-anak buah saya bawa balik tiga mata untuk tentukan tempat ke akhir.

"Lagipun dalam bola sepak kita boleh jangka berapa gol yang akan dapat disumbangkan kerana kebarangkalian kita tidak tahu. Asalkan dapat tiga mata, saya dah rasa memadai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ujar Karathu, menentang pasukan Kuala Lumpur yang dibarisi pemain-pemain muda dan berstamina, anak-anak buahnya diberi latihan penuh untuk meningkatkan prestasi mereka.

Malah, pemain sendiri katanya sudah bersedia dan memang hendak menang perlawanan tersebut.

Berbeza dengan Kuala Lumpur, pasukan Johor FC yang dibarisi pemain berpengalaman ujar Karathu lebih memberi saingan kepada Perak.

Ujar Karathu, pengalaman ditewaskan Kuala Lumpur 1-0 di gelanggang sendiri menjadi pengajaran kepada anak buahnya untuk tidak memandang rendah skuad tersebut.