Friday, November 27, 2009

Pemuda PAS Perak lancar kempen RM1 untuk Pasukan Seladang - Harakah Daily


IPOH, 18 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melancarkan Kempen Seringgit (RM1) untuk Tabung Bantuan kepada Persatuan Bolsepak Perak bagi memastikan pasukan terus hidup dan berkembang.

Pemuda PAS Perak akan merancang beberapa perlawan an bolasepak amal bagi tujuan tersebut dan akan menggerakkan seluruh peminat, penyokong dan rakyat Negeri Perak yang cintakan sukan bolasepak ini untuk sama-sama membantu.

Demikian kata Bendahari Pemuda PAS Perak, Zairul Azrun Abidin dalam satu kenyataannya.

Baru-baru ini, Pemuda PAS Perak telah berbincang dengan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Perak, Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.

Ia dibuat bukan dengan sebarang sentimen politik tetapi perbincangan atas semangat kesukanan yang tinggi demi pembangunan bolasepak di Perak khasnya.

Mereka sedar bahawa berjuta peminat bolasepak yang berada di luar sana akan merindui sentuhan Pasukan Bolasepak Perak atau Pasukan Seladang ini yang pernah menempah sejarah yang membanggakan.

Namun dengan beberapa syarat tambahan baru daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Pasukan Bolasepak Perak mungkin tidak dapat beraksi pada Liga Super musim baru ini.

"Kami jelas dengan kekangan isu pembayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASIL) dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah FAM ketatkan di dalam syaratnya yang perlu dijelaskan.

"Ia boleh menyebabkan Pasukan Bolasepak Perak tidak layak menyertai Liga Super kali ini. Pemuda PAS Perak juga yakin Persatuan Bolsepak Perak akan memastikan isu pembayaran ini di selesaikan dengan segera," katanya.

Thursday, November 26, 2009

Mohammad Nizar ‘diketepikan’ PAFA - Utusan

Nov 27, 2009 Oleh HISYAMUDDIN AYUB
sukan@utusan.com.my

Azzuddin Ahmad (kiri) menerima cek bayaran tunggakan gaji pemain pasukan Perak daripada Zainol Fadzi Paharudin selepas sidang media menjelaskan isu masalah kewangan PAFA di Wisma FAM, semalam.

KELANA JAYA – Tiada apa yang lebih bermakna buat peminat bola sepak Perak apabila negeri itu disahkan bakal beraksi dalam persaingan Liga Malaysia 2010.

Mengenepikan seketika isu pergolakan kepimpinan yang melanda Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), beberapa ahli majlis pasukan negeri itu bertindak bertemu pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan kemelut hutang, sekali gus membolehkan negeri tersebut beraksi di Liga M, musim depan.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Zainol Fadzi Paharudin berkata, dia bersama beberapa ahli majlis mengambil inisiatif sendiri bagi memastikan Perak kembali disenaraikan oleh FAM.

Katanya, dia tidak mahu terlalu bergantung kepada tindakan selanjutnya daripada Presiden PAFA, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang diibaratkan tidak melaksanakan tugas sepenuhnya sebagai orang kanan PAFA.

“Masa semakin suntuk. Isnin ini adalah tarikh terakhir untuk pasukan bermasalah seperti Perak untuk menyelesaikan isu hutang dan pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya bersama bersama beberapa orang sahabat yang juga ahli majlis telah membuat keputusan untuk bertemu dengan pegawai tertinggi FAM iaitu Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad tanpa pengetahuan Mohammad Nizar.

“Kami terpaksa mengambil tindakan seumpama ini bagi kepentingan bola sepak negeri Perak. Kami tidak boleh menunggu dan mahu memastikan Perak kembali disenaraikan dan beraksi di Liga M musim depan.

“Menerusi bantuan daripada pihak individu, pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO serta Barisan Nasional (BN) Perak, kami berjaya mengumpulkan dana yang diperlukan bagi menyelesaikan hutang,” katanya pada sidang akhbar, di Wisma FAM, semalam.

Pada sidang akhbar tersebut, Zainol Fadzi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak menyerahkan cek bernilai RM272,000 kepada Azzuddin.

Tindakan mereka menyerahkan cek berkenaan kepada FAM bertujuan untuk mengelakkan daripada wang berkenaan disalah gunakan.

Zainol Fadzi yang mengulas mengenai perkara itu berkata: “Memang hutang itu sepatutnya dibayar kepada PAFA untuk dilunaskan kepada pemain dan KWSP tetapi kita ambil langkah berjaga-jaga dan menyerahkan kepada FAM supaya FAM akan menyalurkan terus semua pembayaran itu kepada mereka yang berkenaan.”

Mengulas lanjut, beliau turut berkata, tindakan pantas itu terpaksa dibuat setelah Presiden PAFA, Mohammad Nizar tidak memanggil ahli majlis untuk berbincang mengenai tindakan selanjutnya mengenai kemelut kewangan persatuan.

Jelasnya, bekas Menteri Besar itu hanya bertemu dengan pegawai FAM sebanyak dua kali sahaja sejak isu Perak disenaraikan antara beberapa buah pasukan yang berkemungkinan tidak dapat beraksi untuk persaingan Liga M musim depan kerana masalah hutang dan pembayaran wang caruman KWSP.

Sehubungan itu katanya, dia telah berbincang dengan Azzuddin mengenai dokumen yang diperlukan oleh FAM bagi mengesahkan Perak beraksi di Liga Malaysia, tahun depan.

“Kami telah membayar tunggakan gaji sebanyak RM272,000 kepada FAM. Kini, kami hanya perlu menunggu surat tawaran balas daripada KWSP mengenai bayaran sebanyak RM200,000 serta melakukan pembayaran ansuran sebanyak 18 bulan kepada FAM.

“Kini semuanya hampir selesai dan secara pastinya, Perak boleh beraksi di persaingan Liga Malaysia 2010,” katanya.

Dalam pada itu, Azzuddin berkata, dua pasukan bermasalah lain yang sudah menjelaskan hutang mereka adalah Pahang FA dan kelab Shahzan Muda.

Tambahnya, satu lagi pasukan yang hampir menyelesaikan masalah kewangan tersebut adalah Kelantan.

“Isnin ini adalah hari terakhir. Selepas pukul 12 tengahari, FAM tidak akan menerima sebarang rayuan.

“Ini adalah lanjutan daripada lanjutan yang telah diberikan oleh FAM sebelum ini. Malah notis juga telah diberikan kepada ahli gabungan,” katanya.