Friday, July 10, 2009

KENYATAAN MEDIA DATO’ SERI PRESIDEN PAFA

Jul 10, 2009

Saya, memandang serius kenyataan YB Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mendesak saya meletakkan jawatan selaku Presiden PAFA, kerana kononnya kantung PAFA kini kekeringan sehingga menyebabkan gaji pemain bola sepak Perak gagal dibayar mulai Jun 2009. Sebenarnya gaji mereka bagi bulan Jun dan inshaAllah bulan Julai 2009 telah memang dirancang sediakan.

Kenyataan YB Dato Seri Dr. Zambry itu tidak menunjukan sikap professionalisma seorang ketua kerajaan yang prihatin akan masalah rakyatnya. Ia lebih mengambarkan watak yang amat negatif, berdendam dan gagal membezakan kaedah bersukan dan berpolitik.

Ia secara jelas menunjukkan bahawa YB Dato Seri Dr Zambry sekali-kali tidak berfikiran positif untuk membantu tetapi sebaliknya lebih berusaha merosakkan keadaan. Setelah mengemudi PAFA kurang lebih 7 bulan, saya mendapati PAFA banyak tanggungan lapuk sejak beberapa tahun lamanya. Itulah peninggalan saki baki pengurusan lama. Namun pengurusan baru tidak pernah bersungut malah terus menggembeling khidmat bagi menyusun semula PAFA.

Bayangkan ketika ambil alih itu dengan tunggakan gaji pemain-pemain selama lima bulan yang mesti dilangsaikan. Pemain pemain serta pegawai baru telah diambil .Penyata kewangan PAFA terdahulu terdahulu dari itu jelas tertera hutang lapuk yang mencecah sekitar RM3juta. Saya difahamkan ketika itu segala peruntukan tahunan bagi PAFA dari FAM telah didahulukan. Sehinggan peruntukan 2009 juga telah pohon-ambil. Maka bagi 2008 sememangnya FAM tidak menyumbang kerana telah diserah awal terdahulu dari itu.

Semasa menjadi ketua “government of the day”, rakan-rakan exco serta Dato’ Pegawai Kewangan Negeri, tanpa mengira kedudukan siapa yang menerajui PAFA ketika itu, pernah meluluskan dan menghulurkan bantuan negeri sebanyak RM300,000.00 semata-mata untuk membantu masalah kewangan PAFA yang terlalu meruncing sebelum lagi saya mengambil alih menjadi Presiden PAFA. Saya tidak pernah mendesak sesiapapun berundur semasa itu, malahan saya tidak mendesak ditawarkan jawatan Presiden, tetapi ia diputuskan oleh Kongres tahunan PAFA. Saya pikul dengan penuh tanggungjawab dan berhemah. Jauh dilubuk hati saya mahu melihat PAFA bangkit semula dan mengharumkan Perak.

Saya menerima tawaran itu dengan hasrat membantu menyelesaikan masalah kewangan PAFA yang begitu kritikal. Tambahan banyak pihak yang mendorong saya menerima jawatan berkenaan. Akhirnya saya dipilih melalui kongres tahunan PAFA, dan saya menerimanya sebagai tindakan untuk sama-sama berusaha menyuburkan PAFA, terutama dalam sukan bola sepak.

Ramai kenalan rakan dan taulan mula membantu dan menyumbang dalam semua aspek termasuk kewangan dan tajaan yang dapat segera memulihkan PAFA. Sejak itu gaji para pemain dan pegawai dan lain lain perbelanjaan semasa tidak pernah ditangguh. Moral pemain dan pegawai memuncak.

Setelah insiden rampasan kuasa kerajaan pada 6 Feb 2009, suasana agak bertukar. Oleh yang demikian, saya juga memang tidak merancang untuk terus memegang jawatan Presiden PAFA ini, malahan akan berundur apabila tiba waktu yang bersesuaian. Saya juga telah bertemu dengan Setiausaha Agung FAM, Yg Brbhg Dato’ Azudin di pejabat beliau, memaklumkan pendirian, kedudukan, sumber dan kemampuan saya yang terhad daripada segi kewangan untuk membantu PAFA.

Sesungguhnya, saya difahamkan bukan hanya Perak menghadapi masalah kewangan seumpama ini, malahan oleh mana-mana persatuan bola sepak negeri lain memandangkan “gate collection” semasa adalah tersangat rendah. Membentuk sebuah pasukan bola sepak memerlukan masa bukan boleh dibina dalam tempoh enam bulan. Malaysia sendiri masih dalam proses membina pasukan bola sepak yang terbaik.

Saya dimaklumkan bahawa satu pasukan berhasrat menarik diri dan satu lagi pasukan telahpun memohon pendahuluan peruntukan 2010 oleh kerana himpitan kewangan. Sewajarnya jika YB Dato Seri Dr Zambry mahu mendahulukan rakyat, maka inilah masanya membuktikan bantuan kewangan dari kerajaan sekurang-kurangnya mengahabiskan tempoh satu sessi sehingga akhir bulan Ogos 2009 nanti.

Ramai diantara pemain baru yang kita rekrut 9 bulan yang lepas kini telah menunjukan mutu permainan yang amat mengkagumkan sehingga beberapa diantara mereka sedang di minati oleh FAM sendiri sebagai berpotensi menjadi pemain kebangsaan. Moral pemain-pemain dan pegawai juga meningkat. Ahli-ahli Kelab penyokong PAFA juga pada akhir-akhir ini cukup bersemangat. Sama-samalah kita majukan PAFA demi kegemilangan Perak.

YB. DATO’ SERI IR. HJ. MOHAMMAD NIZAR JAMALUDDIN

Sunday, March 1, 2009

Mohd. Zan bengang tindakan Rames - Utusan

Mac 2, 2009

IPOH - Jurulatih Kuala Lumpur PLUS (KL PLUS), Mohd. Zan Mat Aris geram dengan tindakan melulu Rames Lai Ban Huat mengasari pemain Perak, Mohd. Saufi Saadi hingga dilayang kad merah dalam perlawanan Liga Super di Ipoh malam kelmarin.

Mohd Zan berkata, tindakan Rames itu telah memberi ruang kepada ruang kepada Perak untuk mencatat kemenangan 2-0 dalam perlawanan itu.

Beliau mengakui sukar untuk mencatur strategi perlawanan sebaik sahaja Rames diperintah keluar padang.

''Memang susah nak bermain dengan sepuluh pemain dan sekali gus menjejaskan rentak permainan," jelas Mohd. Zan di Ipoh.

Rames dilayangkan kad merah oleh pengadil, Shawal Sharif setelah mengkasari pemain tengah Perak, Mohd. Saufi pada minit ke-12.

"Walaupun pada separuh masa pertama, kami masih mampu menyaingi rentak permainan Perak tetapi kelebihan tetap berpihak kepada pasukan tuan rumah," tambah jurulatih KL PLUS itu.

Mohd. Zan mengakui kebangkitan Perak pada separuh masa kedua membuatkan KL Plus terpaksa bekerja keras bagi mengawasi serangan balas mengejut daripada barisan serangan Seladang.

Seladang melakukan serangan bertali arus melalui gandingan mantap antara Razali Umar Kandasamy, Isma Alif Mohd. Salim, Mohd. Saudi dan Mohd. Arsyah Mohd. Ayob.

Perak memperolehi gol pertama melalui rembatan kencang dari jarak 25 meter dilakukan oleh Mohd. Saufi pada minit ke-57.

Hasrat KL PLUS menyamakan kedudukan semakin sukar apabila Perak menambah jaringan melalui tendangan leret oleh Razali Umar pada minit ke-78.

Tuesday, February 24, 2009

Pasukan pilihan mara ke suku akhir - BHarian

Feb 25, 2009

Oleh Mohd Fadzrie Hazis, Hussein Said, M Hifzuddin Ikhsan, Kamudin Baharom dan Azizan Hashim
bhsukan@bharian.com.my

PEMAIN Kedah, Shafizan Hashim (kiri) cuba melepasi kawalan pemain, MyTeam, V Saravanan dalam perlawanan kedua pusingan kedua Piala FA di Stadium Petaling Jaya, malam tadi.

Hanya juara bertahan, Kedah gagal layak

JUARA bertahan, Kedah tersingkir daripada saingan suku akhir Piala FA menerusi peraturan gol di tempat lawan ketika pasukan pilihan lain, kecuali Terengganu mara ke kelompok lapan terakhir selepas tamat perlawanan kedua, pusingan kedua, malam tadi.

Kedah yang hanya mampu seri 1-1 di Stadium Darulaman sebelum ini terpaksa akur kepada kekentalan MyTeam di Stadium MBPJ apabila tiada jaringan dapat dihasilkan selepas 90 minit perlawanan.

Terengganu pula terpaksa menggigit jari apabila dimalukan barisan pemain muda kebangsaan, Harimau Muda yang menang 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi agregat 4-3.

Di Stadium Shah Alam, Selangor berjaya bangkit dari ketinggalan 1-0 pada babak pertama untuk seri 1-1 dan layak atas agregat 2-1.

Juara empat kali Piala FA itu ketinggalan menerusi sepakan percuma Azwan Abdul Malek pada minit ke-48 sebelum berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi P Gunalan, minit ke-69.

Negeri Sembilan seri 1-1 bertemu Pulau Pinang di tempat lawan sebelum ini bangkit untuk menang 3-1 di Stadium Tuanku Abd Rahman, Paroi untuk layak dengan agregat 4-2.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan Idris Karim pada minit ke-42, Mohd Aidil Zafuan Radzak (m-50) dan Abd Halim Zainal pada minit ke-67 manakala gol pelawat dijaringkan Mohd Failee Ghazali.

Kelantan terus garang apabila membenam Polis 3-1 untuk mara dengan agregat 8-2.

Perak turut mara selepas menang 2-1 ke atas Kuala Muda Naza untuk agregat 3-2 selepas masa tambahan.

Sarawak terpaksa berputih mata apabila tewas 2-1 di kandang sendiri berdepan kepada T-Team yang layak dengan agregat selesa 4-1 ketika Perlis turut layak walaupun seri 0-0 bertemu PKNS untuk layak dengan agregat 2-1.

Sunday, February 22, 2009

Perak mahu catatkan kemenangan - Utusan

Feb 23, 2009

IPOH - Perak akan menggunakan baki 90 minit permainan dalam perlawanan kedua pusingan kedua menentang Kuala Muda Naza (KM Naza) Selasa ini untuk menempah tiket ke pusingan suku akhir Piala FA.

Jurulatih M. Karathu berkata, peluang Perak masih terbuka walaupun gagal mencatat kemenangan di Ipoh malam kelmarin.

''Walaupun gagal membawa sebarang bekalan atau lebihan gol tetapi Perak masih berpeluang ke pusingan seterusnya," tegas Karathu semalam.

"Oleh itu, Perak akan beraksi bersungguh-sungguh bagi mencari kemenangan mutlak," tambahnya.

Katanya, Perak tidak akan menyerah kalah dan tetap mencari gol kemenangan sehingga ke minit terakhir permainan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu lagi dalam perlawanan kedua di Alor Setar.

Sebelum ini, Perak hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan KM Naza dalam perlawanan pertama di Ipoh.

Skuad Seladang mendapat gol tunggalnya melalui tandukan cantik oleh penyerang muda, Mohd Saufi Saadi pada minit ke-40.

Namun begitu, rembatan kencang pemain berpengalaman, Mohd. Annuar Jusoh pada minit ke-85 membolehkan KM Naza menyamakan kedudukan.

Karathu mengakui ketiadaan S. Subramaniam, Benedict Martin dan Mohd. Fauzi Shaari membuatkan benteng pertahanan Perak mudah digegarkan oleh KM Naza malam kelmarin.

Perak terpaksa mengenepikan khidmat ketiga-tiga tonggak utama pertahanannya kerana masih mengalami kecederaan.

Perak kena jawab isu RM600,000 - BHarian

Feb 23, 2009
Oleh Mohd Fadzrie Hazis
fadzrie@bharian.com.my

FAM tidak mahu kompromi lagi, gelora politik bukan alasan lengah hutang

MESYUARAT Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), esok bakal menjadi hari penentu buat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mencari ilham segera melunaskan gaji tertunggak pemain dan jurulatih dianggarkan sekitar RM600,000.

Walau apa sekali pun alasan dibangkitkan Pafa, apa yang pasti FAM akan tetap memberi amaran keras kepada ahli gabungannya untuk membereskan kepincangan itu sekali pun badan induk memahami 'senario politik yang bergelora' di negeri berkenaan.

Soal majikan gagal membayar gaji difahamkan bukan hanya bergolak di Perak, malah pengurusan di Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak juga kini dalam perhatian rapi FAM.

Jumlah anggaran RM600,000 ditanggung Pafa dikatakan tunggakan gaji empat bulan dari Julai sehingga Oktober tahun lalu, termasuk tiga bekas pemain import yang berjumlah RM186,000, gaji bekas jurulatih, Steve Darby sekitar RM120,000 dan baki RM300,000 adalah jumlah gaji pemain tempatan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengulangi ketegasan badan induk itu selepas Mesyuarat Exco, 1 Februari lalu iaitu untuk mendesak Pafa melunaskan bayaran gaji pemain yang tertunggak, walau pun mengerti Pafa kini di bawah pentadbiran baru.

"Apa yang pasti gaji tertunggak itu harus dilunaskan dan bukan terus membisu walau pun di bawah pentadbiran baru. Ia mungkin berlaku dalam era pentadbiran sebelum ini. Tetapi gaji tetap gaji dan FAM tidak boleh kompromi dalam soal aduan pemain tidak menerima gaji mereka.

"Sesiapa yang mentadbir Pafa kini harus bertanggungjawab menyelesaikan hutang ini dan bukan mengambil sikap lepas tangan sahaja. Ini soal kebajikan pemain dan juga jurulatih," kata Azzuddin.

Sementara itu, seorang bekas pemain senior Perak turut mendakwa Pafa turut gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), musim lalu.

Pemain itu turut menyuarakan rasa kesal terhadap sikap sesetengah pegawai Pafa kini yang sentiasa mengelak apabila ditanya mengenai bayaran tertunggak pemain musim lalu.

"Saya amat berharap FAM dapat mengambil tindakan membantu pemain kerana kami hanya menuntut hak kami dan tiada tempat lagi untuk kami tuju memandangkan Pafa kini tidak memberi kerjasama, " katanya.

Perak gagal kaut peluang - HMetro

Feb 23, 2009
Oleh Azizan Hashim

KURANG daya tahan hingga menyebabkan pasukan hilangan pegangan terhadap perlawanan adalah faktor Perak sekadar seri 1-1 dengan Kuala Muda Naza (KM Naza) dalam perlawanan pertama pusingan kedua Piala FA di Ipoh, kelmarin.

Selepas bermain cemerlang untuk mengenakan tekanan serta berjaya mendahului 1-0 pada babak pertama, anak buah M Karathu bagaimanapun tidak berupaya menamatkan cabaran pelawat di akhir saingan 90 minit itu.

Sebaliknya lawan berjaya bangkit pada 10 minit terakhir hingga akhirnya berjaya memadamkan kelebihan tuan rumah melalui gol penyamaan lima minit sebelum tamat permainan.

“Pemain tidak memiliki sentuhan pemusnah serta daya tahan yang diperlukan bagi mematikan rentak lawan padahal kami menguasai hampir keseluruhan perlawanan.

“Kami sepatutnya mampu ‘membunuh’ mereka tetapi kegagalan melakukan penyudah yang diperoleh menjejaskan pencapaian kami,” kata jurulatih, M Karathu.

Pada perlawanan itu, Perak membuka jaringan melalui Mohd Saufi Saadi pada m-40 tetapi kegagalan menambah jaringan mengundang padah apabila pelawat bangkit pada babak kedua.

Menurut Karathu, dia juga menghadapi masalah kecederaan pemain yang kritikal apabila lima tonggak benteng tidak dapat diturunkan menyebabkan kemampuan benteng Seladang terjejas.

Berikutan itu katanya dia terpaksa merombak barisan dengan mengubah posisi pemain dalam usaha mengimbangi kemampuan pasukan.

“Apa anda boleh lakukan apabila lima pemain utama di benteng tercedera. Saya terpaksa merombak pasukan dengan mengubah posisi beberapa pemain,” katanya.

Wednesday, February 18, 2009

Sedutan Perlawanan Liga Super Antara Perak dengan Terengganu pada 17 Feb 2009

Feb 19, 2009

Perlawanan di anatara Perak menentang Terengganu pada 17 Feb 2008 di Stadium Perak di Ipoh telah dibanjiri lebih dari 6,000 orang penonton. Turut hadir Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohd Nizar.

Banner tanda sokongan kepada Dato' Seri Nizar

Kelhatan penyokong Yob turut meletak banner tanda sokongan kepada Dato' Seri Nizar selaku Presiden PAFA. Cuaca agak baik pada malam itu. Cuma terdepat sedikit kekecohan dari segi penjualan tiket di mana bilangan kaunter menjual tiket telah dikurangkan dan ini agak menyukarkan para penonton yang terpaksa masuk lewat. Walau bagaimanapu harga tiket telah turun kepada RM8 seorang.

Sebahagian dari penonton dan penyokong setia Yob

Prestasi Perak pada malam itu amat menghampakan. Pasukan Terengganu menguasai permainan dan menunjukkan prestasi yang lebih baik dengan jurulatihnya iatu Ken Worden. Jurulatih Perak tidak teragak-agak membuat pertukaran seawal minit ke 35. Apapun ia tidak menghalang Terengganu daripada memenangi perlawanan pada malam itu.

Berikut adalah beberapa sedutan perlawanan pada malam itu: