Sunday, February 22, 2009

Perak mahu catatkan kemenangan - Utusan

Feb 23, 2009

IPOH - Perak akan menggunakan baki 90 minit permainan dalam perlawanan kedua pusingan kedua menentang Kuala Muda Naza (KM Naza) Selasa ini untuk menempah tiket ke pusingan suku akhir Piala FA.

Jurulatih M. Karathu berkata, peluang Perak masih terbuka walaupun gagal mencatat kemenangan di Ipoh malam kelmarin.

''Walaupun gagal membawa sebarang bekalan atau lebihan gol tetapi Perak masih berpeluang ke pusingan seterusnya," tegas Karathu semalam.

"Oleh itu, Perak akan beraksi bersungguh-sungguh bagi mencari kemenangan mutlak," tambahnya.

Katanya, Perak tidak akan menyerah kalah dan tetap mencari gol kemenangan sehingga ke minit terakhir permainan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu lagi dalam perlawanan kedua di Alor Setar.

Sebelum ini, Perak hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan KM Naza dalam perlawanan pertama di Ipoh.

Skuad Seladang mendapat gol tunggalnya melalui tandukan cantik oleh penyerang muda, Mohd Saufi Saadi pada minit ke-40.

Namun begitu, rembatan kencang pemain berpengalaman, Mohd. Annuar Jusoh pada minit ke-85 membolehkan KM Naza menyamakan kedudukan.

Karathu mengakui ketiadaan S. Subramaniam, Benedict Martin dan Mohd. Fauzi Shaari membuatkan benteng pertahanan Perak mudah digegarkan oleh KM Naza malam kelmarin.

Perak terpaksa mengenepikan khidmat ketiga-tiga tonggak utama pertahanannya kerana masih mengalami kecederaan.

No comments:

Post a Comment