Wednesday, February 11, 2009

Selangor rampas takhta, Kedah bangkit garang - BHarian

Feb 11, 2009

Oleh Hussain Said, Fazallah Pit, Bashah Zainol Abidin, Azizan Hashim, Hamid Salleh dan Asrol Awang

PENJAGA gol Perak, Megat Amir Faisal berjaya menghalang cubaan penyerang Kelantan, Indra Putra Mahyuddin dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi. Kelantan menang 3-2.

JUARA bertahan, Kedah akhirnya merasai nikmat kemenangan sulung, musim ini apabila dua gol sumbangan Mohd Fadly Baharom menghancurkan rekod sempurna pendahulu Liga Super, KL Plus dengan kemenangan 2-0 di Stadium Darulaman, malam tadi.

Kekalahan sulung itu menyaksikan KL Plus bimbingan Mat Zan Mat Aris tergelincir ke tangga ketiga selepas status penguasa tangga teratas diambil alih Selangor yang mengatasi Perlis 2-1 di Stadium Shah Alam.

Negeri Sembilan turut melonjak mengatasi KL Plus untuk kini mengisi tangga kedua selepas meleburkan rekod tanpa kalah Johor FC hasil kemenangan 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Asakan sejak awal nyata jadi kunci kejayaan Kedah apabila Mohd Fadly sudah pun membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi kuisan mudah bola lantunan hasil cubaan awal Shahrulnizam Mustapha.

Kelebihan itu digandakannya pada minit ke-63 apabila bola tandukan Mohd Fadly melepasi jangkauan penjaga gol KL Plus, Mohd Hairul Nizam Haniff.

Selangor pula menangkis ancaman sengit Perlis apabila gol Mohd Nasriq Baharom (m-40) dan Fazildin Khalid (m53) menjamin kemenangan 2-1. Gol tunggal Perlis dijaringkan Daniel Fazly Abdullah pada minit ke-57.

Shahurain Abu Samah pula jadi wira Negeri Sembilan menerusi sumbangan dua gol, pada minit keempat dan ke-66 ketika S Kunalan turut meletakkan nama dalam senarai penjaring apabila menemui sasaran pada minit ke-46 untuk membenam Johor FC.

Dalam aksi lain, Pulau Pinang diatasi UPB MyTeam 2-3 di gelanggang sendiri ketika Perak turut kalah dengan keputusan sama di tangan Kelantan. Pahang juga kempunan apabila tumbang 1-2 kepada KM Naza ketika Terengganu, hasil gol Ashaari Shamsuddin, berjaya mengatasi Polis 1-0.

Di Stadium Perak, Kelantan berjaya membawa pulang mata penuh selepas menewaskan Perak 3-2.

Penyerang lincah, Mohd. Nor Farhan menjaringkan gol pertama Kelantan pada minit ke-19.

Pasukan pelawat menambah jaringan menerusi Khalid Jamlus pada minit ke-26.

Perak kembali bangkit dengan memperoleh dua gol hasil jaringan Razali Umar Kandasamy pada minit ke-35 dan Shahrizal Mohd. Saad (46).

Nor Farhan muncul wira apabila meledak gol kemenangan skuad Wira Merah seminit sebelum perlawanan berakhir.

1 comment: