
SELANGOR gagal mempertahankan kedudukan di tangga teratas Liga Super selepas tewas 0-1 kepada UPB-MyTeam pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Selangor memperoleh peluang terbaik seawal minit kelima tetapi sepakan pemain sayap, Amirul Hadi Zainal berjaya ditepis keluar penjaga gol UPB-MyTeam, Syed Adney Syed Hussain.
UPB-MyTeam turut melakukan beberapa gerakan tetapi masih gagal menembusi benteng pertahanan Selangor dan kedudukan separuh masa pertama kekal terikat tanpa jaringan.
Selangor sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-64 apabila Safee dikasari pertahanan UPB-MyTeam, namun pengadil Mohd. Nafeez Abdul Wahab enggan memberikannya.
Sebaliknya, UPB-MyTeam yang jarang mendapat peluang akhirnya memperoleh gol tunggal mereka pada minit ke-67 selepas hantaran Deepan Kandasamy berjaya disudahkan penyerang gantian, Norshahrul Idlan Talaha.
Di Stadium Darul Aman, juara treble, Kedah berjaya melakarkan kemenangan ketiga selepas menewaskan Kuala Muda Naza (KM Naza) 2-1.
Skuad Kenari berada di depan menerusi jaringan pembukaan penyerangnya, Khyril Muhymeen Zambri seawal minit ketujuh.
KM Naza memperoleh gol penyamaan setelah ketua pasukan Kedah, A. Victor tertanduk masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-30.
Kedah memperoleh gol kemenangan menerusi sepakan penalti Badrol Bakhtiar selepas Khyril dikasari pertahanan KM Naza.
Di Stadium Perak, pasukan pelawat, Terengganu membawa pulang mata penuh selepas membenam Perak 1-0.
Gol kemenangan Terengganu dihasilkan Hariri Mohd. Safli pada minit ke-56.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan dan KL Plus mencatat keputusan seri tanpa jaringan.
Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang meraih mata penuh selepas mencipta kemenangan 3-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Gol-gol Pulau Pinang dihasilkan Mohd. Noraslan pada minit ke-29 M. Prakash (89) dan Muhd. Radiuddin Roddin (90).
Gol saguhati PDRM dijaringkan oleh Khairul Zal Azmi pada minit kelapan.
Di Stadium JCorp, Perlis mencipta kemenangan 2-1 ke atas Johor FC.
Di Stadium Darul Makmur, Pahang gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila dibelasah Kelantan 1-5.
No comments:
Post a Comment