Monday, February 16, 2009

Nizar masih lagi Presiden - Utusan

Feb 16, 2009

JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin masih Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) walaupun berlaku perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri itu, baru-baru ini.

Penolong pengurus pasukan Perak, Anuar Zakaria berkata, jawatan itu kekal untuk dipegang oleh bekas Menteri Besar Perak itu hingga akhir tahun depan kecuali Mohammad Nizar meletak jawatan secara sukarela.

Beliau berkata, sekiranya berlaku peletakan jawatan itu, tugas Presiden PAFA akan disandang oleh Timbalan atau salah seorang daripada dua Naib Presidennya selepas mengambil kira persetujuan kongres persatuan tersebut.

"Status Presiden PAFA masih sama dan tidak akan berlakunya sebarangan perubahan. Istilah untuk mengambil alih persatuan oleh orang baru juga tidak timbul kerana pelantikan jawatan dalam PAFA berdasarkan persetujuan kongres.

"Justeru, saya yakin PAFA masih stabil dan tidak nampak akan berlaku apa-apa perubahan jawatan dalam persatuan meskipun jawatan Menteri Besar Perak telah berubah.

"Perkara yang sama ini juga telah dijelaskan kepada para pemain agar mereka dapat memberi fokus kepada karier sebagai pemain bola sepak di samping tidak menjadi mangsa keadaan dalam kemelut politik yang sedang berlaku di Perak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan antara Johor FC dan Perak di Stadium JCorp, Pasir Gudang di sini, kelmarin yang berkesudahan kemenangan tipis 1-0 oleh pasukan pelawat.

Pada perlawanan itu, penyerang, Razali Umar Kandasamy muncul hero pasukan Perak apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-40.

Pada 6 Februari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru menggantikan Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar dipilih sebagai Presiden PAFA, manakala bekas Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan, Seah Leong Peng dilantik sebagai Timbalan Presiden PAFA bagi sesi 2008/2010 pada Kongres Tahunan PAFA yang diadakan November tahun lalu.

No comments:

Post a Comment