Tuesday, February 17, 2009

Razali, Subra belum pasti layan Penyu - HMetro

Feb 17, 2009

Oleh Azizan Hashim

PERAK terpaksa membayar harga mahal ketika menang 1-0 ke atas Johor Fc di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Sabtu lalu, apabila dua tonggaknya, S Subramaniam dan Razali Umar Kandasamy mengalami kecederaan.

Berikutan itu, kedudukan pemain itu untuk perlawanan dengan Terengganu dalam saingan Liga Super di Ipoh, malam ini, masih samar.

Jurulatih Perak, M Karathu berkata dia terpaksa menunggu hingga ke saat akhir sebelum membuat keputusan mengenai kedudukan Subramaniam dan Razali.

“Kecederaan mereka tidak begitu teruk tetapi saya tidak mahu mengambil sebarang risiko menurunkan mereka kerana tidak mahu burukkan lagi keadaan,”katanya.

Katanya, Razali yang menjaringkan gol kemenangan Seladang pada perlawanan dengan Johor FC terpaksa dikeluarkan selepas sering menjadi mangsa corak keras pasukan lawan.

“Kami keluarkannya kerana tidak mahu dia terus menjadi mangsa terjahan keras pemain lawan. Saya berharap dia akan dapat diturunkan malam esok (ini),” katanya selepas latihan petang semalam.

Karathu yang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya Sabtu lalu berharap penonton dapat menyaksikan ulangan aksi berkesan dan bertenaga pemain Perak, malam ini.

“Mereka mempamer disiplin taktikal dengan bertahan dan menyerang dengan baik. Malah kami mampu menang dengan jurang lebih besar jika memanfaatkan beberapa peluang yang diperoleh. Apapun ia tetap kemenangan yang penting buat kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment