Tuesday, February 24, 2009

Pasukan pilihan mara ke suku akhir - BHarian

Feb 25, 2009

Oleh Mohd Fadzrie Hazis, Hussein Said, M Hifzuddin Ikhsan, Kamudin Baharom dan Azizan Hashim
bhsukan@bharian.com.my

PEMAIN Kedah, Shafizan Hashim (kiri) cuba melepasi kawalan pemain, MyTeam, V Saravanan dalam perlawanan kedua pusingan kedua Piala FA di Stadium Petaling Jaya, malam tadi.

Hanya juara bertahan, Kedah gagal layak

JUARA bertahan, Kedah tersingkir daripada saingan suku akhir Piala FA menerusi peraturan gol di tempat lawan ketika pasukan pilihan lain, kecuali Terengganu mara ke kelompok lapan terakhir selepas tamat perlawanan kedua, pusingan kedua, malam tadi.

Kedah yang hanya mampu seri 1-1 di Stadium Darulaman sebelum ini terpaksa akur kepada kekentalan MyTeam di Stadium MBPJ apabila tiada jaringan dapat dihasilkan selepas 90 minit perlawanan.

Terengganu pula terpaksa menggigit jari apabila dimalukan barisan pemain muda kebangsaan, Harimau Muda yang menang 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi agregat 4-3.

Di Stadium Shah Alam, Selangor berjaya bangkit dari ketinggalan 1-0 pada babak pertama untuk seri 1-1 dan layak atas agregat 2-1.

Juara empat kali Piala FA itu ketinggalan menerusi sepakan percuma Azwan Abdul Malek pada minit ke-48 sebelum berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi P Gunalan, minit ke-69.

Negeri Sembilan seri 1-1 bertemu Pulau Pinang di tempat lawan sebelum ini bangkit untuk menang 3-1 di Stadium Tuanku Abd Rahman, Paroi untuk layak dengan agregat 4-2.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan Idris Karim pada minit ke-42, Mohd Aidil Zafuan Radzak (m-50) dan Abd Halim Zainal pada minit ke-67 manakala gol pelawat dijaringkan Mohd Failee Ghazali.

Kelantan terus garang apabila membenam Polis 3-1 untuk mara dengan agregat 8-2.

Perak turut mara selepas menang 2-1 ke atas Kuala Muda Naza untuk agregat 3-2 selepas masa tambahan.

Sarawak terpaksa berputih mata apabila tewas 2-1 di kandang sendiri berdepan kepada T-Team yang layak dengan agregat selesa 4-1 ketika Perlis turut layak walaupun seri 0-0 bertemu PKNS untuk layak dengan agregat 2-1.

No comments:

Post a Comment