Sunday, February 1, 2009

Karathu tetap resah - HMetro

Feb 2, 2009

Oleh Azizan Hashim
am@hmetro.com.my

PENYUDAH lemah anak buahnya tetap meresahkan jurulatih M Karathu biarpun Perak mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas SDM Kepala Batas dalam perlawanan pertama pusingan pertama Piala FA di Ipoh, kelmarin.

Ketika jurulatih lain mungkin berbangga dengan pencapaian seumpama itu, Karathu tetap kecewa berikutan rentetan peluang yang dipersia-siakan pemain seladang.

Pada perlawanan itu, K Tininagaran muncul wira tuan rumah apabila menyumbang hatrik. Manakala satu lagi gol pasukan Yob dihasilkan oleh Mohd Arsyah Ayob. Sementara gol sagu hati pelawat dijaringkan oleh Jegan Megana.

“Kami sepatutnya mampu menang dengan jurang lebih besar tetapi malangnya pemain mensia-siakan peluang itu. Sikap itu tidak seharusnya dijadikan kebiasaan kerana merugikan pasukan,”katanya.

Menurut Karathu, Perak tidak dapat menurunkan tiga tonggak termasuk ketua pasukan, S Subramaniam kerana mengalami kecederaan menyebabkan benteng pasukan Seladang goyah ketika diasak oleh lawan.

Katanya, K Puvindren Naidu yang pertama kali beraksi selepas pulih daripada kecederaan masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak pasukan.

“Puven sepatutnya berada dalam kesebelasan utama pasukan tetapi tidak dapat diturunkan dalam empat perlawanan awal kami kerana cedera,” katanya.

Apapun Karathu lega dengan persembahan keseluruhan pemainnya yang menunjukkan semangat juang kental untuk menyekat kemaraan pelawat yang turut bermain corak pantas.

“’Apa yang saya boleh katakan ialah pasukan ini belum cukup mantap. Masih banyak ruang untuk mereka memperbaiki diri. Saya berharap mereka terus bekerja keras untuk mencapai impian itu,”katanya.

Justeru jurulatih itu yakin Perak mampu mempertahan kelebihan yang dimiliki itu apabila turun membuat perhitungan dalam pertemuan kedua di Stadium Batu Kawan, malam esok.

No comments:

Post a Comment