Sunday, February 22, 2009

Perak kena jawab isu RM600,000 - BHarian

Feb 23, 2009
Oleh Mohd Fadzrie Hazis
fadzrie@bharian.com.my

FAM tidak mahu kompromi lagi, gelora politik bukan alasan lengah hutang

MESYUARAT Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), esok bakal menjadi hari penentu buat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mencari ilham segera melunaskan gaji tertunggak pemain dan jurulatih dianggarkan sekitar RM600,000.

Walau apa sekali pun alasan dibangkitkan Pafa, apa yang pasti FAM akan tetap memberi amaran keras kepada ahli gabungannya untuk membereskan kepincangan itu sekali pun badan induk memahami 'senario politik yang bergelora' di negeri berkenaan.

Soal majikan gagal membayar gaji difahamkan bukan hanya bergolak di Perak, malah pengurusan di Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak juga kini dalam perhatian rapi FAM.

Jumlah anggaran RM600,000 ditanggung Pafa dikatakan tunggakan gaji empat bulan dari Julai sehingga Oktober tahun lalu, termasuk tiga bekas pemain import yang berjumlah RM186,000, gaji bekas jurulatih, Steve Darby sekitar RM120,000 dan baki RM300,000 adalah jumlah gaji pemain tempatan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengulangi ketegasan badan induk itu selepas Mesyuarat Exco, 1 Februari lalu iaitu untuk mendesak Pafa melunaskan bayaran gaji pemain yang tertunggak, walau pun mengerti Pafa kini di bawah pentadbiran baru.

"Apa yang pasti gaji tertunggak itu harus dilunaskan dan bukan terus membisu walau pun di bawah pentadbiran baru. Ia mungkin berlaku dalam era pentadbiran sebelum ini. Tetapi gaji tetap gaji dan FAM tidak boleh kompromi dalam soal aduan pemain tidak menerima gaji mereka.

"Sesiapa yang mentadbir Pafa kini harus bertanggungjawab menyelesaikan hutang ini dan bukan mengambil sikap lepas tangan sahaja. Ini soal kebajikan pemain dan juga jurulatih," kata Azzuddin.

Sementara itu, seorang bekas pemain senior Perak turut mendakwa Pafa turut gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), musim lalu.

Pemain itu turut menyuarakan rasa kesal terhadap sikap sesetengah pegawai Pafa kini yang sentiasa mengelak apabila ditanya mengenai bayaran tertunggak pemain musim lalu.

"Saya amat berharap FAM dapat mengambil tindakan membantu pemain kerana kami hanya menuntut hak kami dan tiada tempat lagi untuk kami tuju memandangkan Pafa kini tidak memberi kerjasama, " katanya.

No comments:

Post a Comment