Monday, December 29, 2008

'Jangan cepat mengalah' - Utusan

29 Dis 2008 Oleh KAMARUDDIN ISMAIL

IPOH - Para pemain Kelantan diingatkan tidak mudah 'mengalah' semasa beraksi di gelanggang lawan dalam Liga Super yang akan bermula 3 Januari depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, dia bimbang dengan sikap mudah mengalah para pemain itu yang akhirnya akan membuatkan Kelantan berputih mata apabila bermain di gelanggang lawan.

Annuar mengakui para pemainnya mampu mempamerkan prestasi cemerlang di Kota Bharu tetapi mudah mengalah apabila bertandang ke gelanggang lawan.

''Perkara ini perlu diselesaikan segera sebelum menjadi barah kepada pasukan," jelas Presiden KAFA itu di Ipoh, semalam.

Sebelum itu, Kelantan berjaya mencatat keputusan seri 2-2 dengan Perak di Ipoh yang merupakan perlawanan persahabatan ketujuh dilalui oleh pasukan tersebut.

Skuad bimbingan Peter James Butler itu telah mencatat empat kemenangan, seri satu perlawanan tetapi kalah dalam dua perlawanan.

Selain memperkuatkan kekuatan mental, Anuar berkata, persefahaman antara pemain perlu dimantapkan lagi.

''Saya melihat persefahaman mereka masih rapuh sehingga membolehkan pihak lawan membolosi gawang Kelantan dengan mudah," katanya.

''Butler mempunyai masa selama tujuh hari bagi memperbaiki segala kelemahan agar Kelantan mampu turun dengan semangat waja," tegas Annuar.

Beliau berharap gandingan Indra Putra Mahyuddin, Mohd. Khalid Jamlus, Daudsu Jamaluddin dan Nor Farhan Mohamad mampu memberi sinar baru kepada Kelantan dalam Liga Super kelak.

Mengenai sasaran Kelantan, Annuar berharap berada dalam sepuluh pasukan terbaik yang mana boleh dianggap sebagai suatu kejayaan yang memuaskan.

Kelantan dinaik taraf beraksi dalam saingan Liga Super musim depan bagi mengisi kekosongan slot selepas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menarik diri kerana ekoran dibebani masalah kewangan.

Namun, awal bulan ini, PDRM merayu dan menarik balik keputusan tersebut sehingga menyebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan tidak menurunkan kembali Kelantan ke Liga Perdana dan menggunakan format 15 pasukan untuk musim depan sahaja.

No comments:

Post a Comment