Wednesday, December 17, 2008

Perak cari pasukan handal uji pemain - Utusan

IPOH - Perak perlukan perlawanan bermutu tinggi bagi menguji pemain-pemain muda Seladang menjelang permulaan Liga Super pada 3 Januari depan.

Jurulatih Perak, M. Karathu menyatakan bahawa perlawanan sedemikian mampu memantapkan persembahan anak buahnya.

Sehubungan dengan itu katanya, Perak akan mengadakan siri perlawanan persahabatan persahabatan dengan Perlis, Selangor dan Kelantan tidak lama lagi.

''Saya beranggapan ketiga-tiga pasukan itu mempunyai ramai pemain yang berpengalaman yang mana membolehkan pemain muda Perak menimba pengalaman," jelas Karathu semalam.

Beliau percaya perlawanan dengan Perlis, Selangor dan Kelantan akan memberi banyak pendedahan yang berguna kepada pemain-pemainnya.

Skuad Seladang akan diuji oleh Perlis pada hari Jumaat ini dan Kelantan pada 26 Disember depan yang mana kedua-dua perlawanan itu dijalankan di Ipoh.

Perak juga akan beraksi dengan Selangor di Shah Alam pada 23 Disember ini.

Karathu terpaksa bekerja keras bagi membentuk skuad Seladang apabila kehilangan semua pemain berpengalaman yang berpindah ke negeri lain.

Sebelum ini, Perak mencatat keputusan selesa menumpaskan pasukan Liga Perdana, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS ) 3-0 pada 26 November lalu.

Selepas itu, barisan muda Perak mampu mengekang kemaraan para pemain berpengalaman KM-Naza dengan mencatat keputusan seri 1-1 pada 10 Disember lalu.

KM-Naza telah menyenaraikan pemain-pemain berpengalaman seperti Akhmal Rizal Rakhli, Liew Kit Kong, K Rajan dan Anuar Jusoh dalam perlawanan tersebut.

Karathu gembira dengan persembahan yang dipamerkan oleh pemain-pemain muda Perak yang bertambah baik dalam kedua-dua perlawanan itu.

No comments:

Post a Comment