Thursday, December 25, 2008

Perlis selamatkan Wing Hoong dari Brunei - Utusan

KUALA LUMPUR: 26 Dis 2008

Bekas pemain Perak, Chan Wing Hoong yang sebelum ini menandatangani kontrak bersama pasukan DPMM Brunei bakal disambar oleh Perlis, lapor FERZALFIE FAUZI.

Pemain yang berasal dari Ipoh itu terpaksa mencari pasukan baru selepas DPMM Brunei menghadapi masalah pembatalan pendaftaran persatuan bola sepak negara itu Perdaftar Pertubuhan Brunei.

Menurut Pengurus pasukan Perlis, Mohd. Noor Aziz berkata, Wing Hoong dijangka akan menandatangani kontrak baru bersama Perlis esok, selepas selesai urusan surat pelepasan bersama pasukan kelab negara Brunei itu.

''Sekarang, dia (Wing Hoong) masih lagi di Brunei menguruskan surat pelepasannya di sana dan DPMM sendiri telah bersetuju untuk mengeluarkan surat tersebut,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, Perlis tidak menunggu lama untuk menghubungi Wing Hoong sebaik sahaja berita mengenai pembatalan pasukan DPMM Brunei keluar Selasa lalu.

''Ketika kami menghubunginya dia menyatakan persetujuan untuk mewakili Perlis dan memberi tempoh beberapa hari untuk menyelesaikan urusannya di Brunei.

''Jika tidak ada aral melintang Wing Hoong akan tiba Sabtu ini (esok) dan terus menandatangani kontrak untuk bermain di sini,'' katanya.

Ditanya kenapa Wing Hoong bersetuju untuk mewakili Perlis, Mohd. Noor berkata, selain menganggap pasukan Singa Utara mempunyai nama yang besar dalam liga tempatan, ramai bekas rakan sepasukannya (Perak) berhijrah ke sini.

''Dia berasa senang untuk bersama kami kerana ramai rakannya ketika bermain bersama skuad Perak berhijrah ke Perlis, antaranya Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Danial Fazly Abdullah dan Yusri Che Lah.

''Sekali lagi saya nyatakan di sini memang sah Wing Hoong akan menyertai kami,'' kata Mohd. Noor.

Selain beraksi di pertahanan kiri Wing Hoong juga tidak kekok untuk diletakkan di bahagian sayap kiri.

Pemain berusia 31 tahun itu beraksi bersama pasukan Seladang dari 1998 hingga 2005 sebelum berhijrah ke Selangor MPPJ bersama rakan sepasukan K. Nanthakumar pada 2006.

Dia kemudiannya kembali ke Perak pada 2007 dan pernah mewakili pasukan kebangsaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa, antaranya Piala Tiger 2002, Pestabola Merdeka 2006 dan Kejohanan AFF 2007.

No comments:

Post a Comment