Monday, December 29, 2008

Perak terus dibelenggu masalah komunikasi - Utusan

30 Dis 2008

IPOH - Masalah komunikasi masih membelenggu para pemain muda Perak menjelang pertemuan pertama Liga Super pada 3 Januari depan menentang KM Naza di Stadium Perak, Ipoh.

Jurulatih Seladang, M. Karathu berkata, komunikasi yang tidak jelas semasa bermain menyebabkan pihak lawan mudah membolosi kawasan pemain Perak.

Masalah komunikasi itu juga menyebabkan pemainpemain berlaga sesama sendiri atau senang dikelirukan oleh pihak lawan.

''Pemain-pemain perlu berkomunikasi dengan lebih jelas apabila beraksi di atas padang," jelas Karathu.

Karathu menyatakan kekurangan pengalaman membuatkan mereka gagal berinteraksi dengan baik antara satu sama lain.

Jurulatih yang pernah menjulang Piala FA pada tahun 1991 mengakui terpaksa bekerja keras bagi membentuk pasukan mantap dengan menggunakan barisan pemain muda.

''Kita kekurangan pemain berpengalaman dalam persaingan Liga Super kecuali S. Subramaniam dan Razali Umar Kandsamy," jelasnya.

''Untuk itu, persembahan yang akan dipamerkan oleh para pemain mungkin tidak mencapai tahap yang memuaskan," tambahnya.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta para penyokong Perak tidak meletakkan harapan tinggi ke atas skuad Seladang untuk meraih kejayaan cemerlang musim depan.

Dia turut berkata, jika Perak berjaya berada dalam kelompok sepuluh pasukan terbaik sudah dianggap kejayaan bermakna bagi musim depan.

Mengenai pertemuan dengan KM Naza, Karathu meminta para pemain supaya berhati-hati kerana pihak lawannya itu mempunyai ramai pemain berpengalaman.

No comments:

Post a Comment