Monday, December 29, 2008

Selangor mahu tamat badi tewas - Utusan

30 Dis 2008

SHAH ALAM - Selangor berazam untuk menamatkan badi kekalahan kepada Kedah apabila kedua-dua pasukan bertemu bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih) pada perlawanan pembukaan saingan bola sepak Liga Super 2009 di Stadium Darulaman, Alor Star Sabtu ini.

Pada saingan Liga Malaysia musim lepas, skuad Gergasi Merah terlepas dua piala iaitu Piala Malaysia dan Piala FA setelah tunduk kepada Kedah pada perlawanan akhir selain tewas kedua-dua perlawanan Liga Super.

"Kita memang mahukan permulaan yang baik bagi memberikan keyakinan kepada pemain-pemain terutamanya menentang Kedah yang merupakan juara tiga piala musim lepas," kata jurulatih Selangor, K. Devan di sini semalam.

Devan berkata, rekod Selangor pada musim lepas menentang Kedah tidak baik dan sesuatu harus dilakukan.

"Apa yang saya harapkan daripada perlawanan itu adalah satu keputusan yang berlainan terutamanya di tempat lawan memandangkan pasukan Selangor kini juga menampilkan ramai muka baru," katanya.

Pada saingan Liga Super musim lepas, Selangor yang ketika itu dibimbing jurulatih Dollah Salleh, tewas 2-6 di tempat lawan dan 0-1 di Stadium Shah Alam.

Badi kekalahan Selangor berterusan apabila tewas dalam dua perlawanan akhir menentang Kedah iaitu bagi merebut Piala FA dan Piala Malaysia dengan kedua-dua perlawanan berkesudahan Kedah menang 3-2.

Devan berkata, setelah mengendalikan latihan sejak dua bulan lepas dan mengadakan 10 perlawanan, beliau kini telah pun menjumpai kombinasi dan kesebelasan utama.

"Cuma apa yang tinggal kini adalah untuk meningkatkan persefahaman dan taktikal antara pemain kerana beberapa pemain kebangsaan baru memasuki kem latihan pertengahan bulan ini berbanding yang lain sejak awal November lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment