Monday, December 29, 2008

'Persefahaman belum mantap' - Kosmo

29 Dis 2008 Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
sukan@kosmo.com.my

ANNUAR (dua dari kanan) bersama para pemain Kelantan ketika majlis memperkenalkan jersi baru pasukan itu bagi kempen musim baru.

"WALAUPUN mempunyai ramai pemain bintang, tetapi persefahaman sesama mereka masih longgar."

Itu pandangan peribadi daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Situasi itu sekali gus menyaksikan jurulatih Kelantan, Peter James Butler perlu mengambil tindakan segera bagi memperbaiki kelemahan yang ada menjelang saingan Liga Super 3 Januari depan.

Menurut Annuar, persefahaman antara pemain Kelantan belum mantap kerana mereka masih belum memahami corak permainan masing-masing sepenuhnya.

Tambahnya lagi, pemain kebangsaan yang menyarung jersi Kelantan pula masih belum dapat mempamerkan prestasi sebenar akibat kecederaan.

"Keadaan ini serba sedikit menjejaskan rentak permainan Kelantan. Saya yakin kelemahan ini akan dapat diatasi sebaik semua pemain berada dalam keadaan cergas sepenuhnya," kata Annuar semalam.

Skuad Kelantan yang dinaikkan taraf ke Liga Super musim depan diperkuatkan dengan beberapa pemain berstatus bintang seperti Indra Putra Mahyuddin, Mohd. Khalid Jamlus, Daudsu Jamaluddin dan Nor Farhan Mohamad.

Selain itu, Annuar juga meminta Butler berusaha meningkatkan lagi ketahanan mental pemain agar tidak mudah goyah apabila berdepan tekanan.

Presiden Kafa itu mengakui mental pemainnya mudah goyah apabila beraksi di gelanggang lawan.

"Mereka mampu bertindak garang di Kota Bharu tetapi gagal mengulanginya di gelanggang lawan," jelas Annuar.

Menurutnya, Kelantan terpaksa menukar corak latihan apabila dinaikkan ke Liga Super selepas menyedari cabaran yang sengit daripada pasukan elit.

Sebelum ini, katanya, pasukan tersebut melakukan persiapan untuk berdepan lawan dalam Liga Perdana yang mana corak persaingannya agak berbeza berbanding Liga Super.

No comments:

Post a Comment