Monday, December 29, 2008

KL mahu baiki kedudukan - Utusan

30 Dis 2008 Oleh FERZALFIE FAUZI

KUALA LUMPUR - Tidak mahu pisang berbuah dua kali, pasukan Kuala Lumpur bertekad untuk memperbaiki kedudukan mereka di tangga ke-12 Liga Perdana musim lalu ke kedudukan lebih baik musim 2009.

Menurut jurulatihnya, Razip Ismail, tugas tersebut memang berat untuk dilaksanakan tetapi mereka akan cuba sedaya upaya bagi menaikkan semula maruah skuad ibukota itu.

''Kami mensasarkan untuk memperbaiki kedudukan musim lalu dalam kempen 2009 ini dan saya akui sendiri tugas ini memang agak berat,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia kelmarin.

Jelas Razip, bagi memastikan impian tersebut menjadi kenyataan pelbagai usaha telah dilakukan untuk memantapkan pasukan Kuala Lumpur termasuk memberi pendedahan kepada pemain muda.

''Seperti perlawanan hari ini (kelmarin) menentang pasukan Harimau Muda, saya banyak menurunkan pemain junior dari Piala Presiden dan SUKMA untuk melihat sejauh mana prestasi mereka bagi diserapkan ke dalam pasukan senior.

''Sebelum ini saya menurunkan pemain senior dalam perlawanan persahabatan yang lain tetapi memberi ruang untuk mereka berehat sambil melihat keupayaan pemain muda,'' kata bekas pemain Kuala Lumpur itu.

Kata Razip, pasukan Kuala Lumpur perlu diperbaiki lagi terutama di bahagian serangan yang dilihat sedikit tumpul berbanding bahagian lain.

''Dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini bahagian serangan begitu tumpul untuk menjaringkan gol.

''Kami seri tanpa jaringan ketika bertemu PKNS dan UPB-MyTeam dan tewas 1-0 kepada Selangor,'' katanya.

Ditanya mengenai penyerang yang mampu untuk diharapkan memberi jaringan kepad pasukan, Razip berkata, tugasan tersebut bakal digalas bekas penyerang PKNS, Abdul Hadi Yahya.

''Saya rasa Hadi mampu untuk bertindak selaku penyerang utama kami dan cuba untuk merobek gawang pasukan lawan musim depan,'' katanya.

Sebelum ini skuad ibukota pernah melahirkan pemain penyerang yang berkaliber seperti Azman Adnan, T. Gopinath Naidu, Shahrin Majid, Liew Kim Tu, Farid Dewan dan Safee Sali.

Dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Harimau Muda bimbingan K.Rajagopal, skuad ibukota terikat 1-1 di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

No comments:

Post a Comment