Sunday, January 4, 2009

Amaran Karathu bakar semangat Yob - Kosmo

5 Jan 2009 Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
sukan@kosmo.com.my

KAPTEN KM Naza, Anuar Jusoh (kiri) menghalang gerakan Wan Hossen pada aksi kelmarin.

"KAMU akan dikeluarkan jika bermain sambil lewa walaupun bermain hanya sepuluh minit."

Itu amaran jurulatih Perak, M. Karathu sebelum anak buahnya menentang Kuala Muda Naza (KM Naza) pada aksi sulung Liga Super di Stadium Ipoh malam kelmarin.

Ternyata amaran keras Karathu itu dilihat cukup menjadi apabila barisan mudanya mencipta kejutan dengan menewaskan KM Naza 2-0.

Karathu menambah, hasil daripada peringatan tersebut, anak buahnya telah memberi komitmen yang begitu tinggi sepanjang perlawanan berlangsung.

"Mereka telah bergerak ke setiap penjuru padang untuk mengejar bola tanpa memberi peluang kepada pihak lawan menyusun straetgi," kata Karahu kelmarin.

"Komitmen itu jugalah yang membolehkan Perak mencatat kemenangan yang mengejutkan ke atas KM Naza."

Perak memperoleh gol pertama melalui tolakan pemain dari skuad Piala Presiden, Wan Hossen Wan Abdul Ghani, 19, pada minit ke-64.

Shahrizal Mohd. Saad, 22, mengesahkan kemenangan sulung Perak dengan tandukan cantik pada masa kecederaan babak kedua.

"Saya anggap kemenangan malam ini (kelmarin) cukup mengejutkan kerana Perak yang terdiri daripada barisan muda dapat mengalahkan pemain berpengalaman KM Naza," tambah Karathu.

Mengulas lanjut, Karathu berkata, beliau telah mengarahkan pemainnya mengawal ketat setiap pergerakan lawan bagi membendung mereka daripada menggugat kubu Perak.

"Itulah cara untuk mengawal pergerakan pemain berpengalaman agar mereka tidak bermaharajela," ujarnya.

KM Naza yang juga juara Liga Perdana musim lalu menampilkan barisan pengalaman seperti B. Rajanikadhan, Liew Kit Kong, Anuar Jusoh, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, G. Saravanakumar, K. Rajan dan Mohd. Nor Ismail.

Manakala Karathu menyandarkan harapan kepada pemain yang rata-ratanya berusia bawah 23 tahun.

Bagaimanapun, Karathu mengakui, masih banyak yang perlu diperbaiki barisannya bagi menghadapi perlawanan akan datang.

"Gandingan Razali Umar Kandasamy dan Shahrizal perlu dimantapkan lagi supaya serangan Perak lebih berbisa," tegasnya.

Karathu turut meminta jentera seranganya itu tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol.

"Tindakan sia-sia itu akan melemahkan semangat pemain lain yang sudah bekerja keras bagi mencipta peluang berkenaan," ujar Karathu.

No comments:

Post a Comment