Sunday, January 4, 2009

Yob perlu kawal tempo - HMetro

5 Jan 2009 Oleh Azizan Hashim

PEMAIN Perak perlu bijak mengawal dan mempelbagaikan tempo permainan bagi mengelak terperangkap dengan serangan balas lawan dalam kancah bola sepak Liga Super 2009.

Peringatan itu dibuat jurulatih M Karathu kepada anak buahnya selepas kejayaan 2-0 ke atas Kuala Muda-Naza dalam perlawanan pembukaan liga elit itu di Stadium Perak, malam kelmarin.

Pada perlawanan itu Perak yang mempamer corak pantas memperolehi dua gol pada babak kedua melalui Wan Hossen Wan Abd Ghani dan Shahrizal Mohd Saad m-64 dan m-90 untuk membolehkan tuan rumah membuka kempen dengan nota kemenangan.

“Pemain perlu bijak mempelbagaikan corak serta tidak terlalu ghairah mengasak lawan hingga membiarkan mereka sendiri berada dalam keadaan bahaya.

“Ada ketika mereka perlu memperlahankan tempo permainan agar dapat menguasai suasana bagi mengelak lawan mengenakan tekanan,” katanya .

Apapun Karathu gembira dengan pencapaian pemainnya yang bermain dengan baik untuk membawa cabaran kepada juara Liga Perdana 2008 itu yang mendapat sentuhan jurulatih dari Brazil, Alessandro Stefano.

“Pemain mengikut arahan serta kemantapan benteng mempertahankan kubu adalah faktor menghasilkan kejayaan ini. Walaupun saingan seimbang tetapi Perak menggunakan peluang yang diperolehi dengan baik.

“Saya cukup bangga dengan persembahan pemain Perak yang menunjukkan semangat juang kental sepanjang perlawanan. Saya percaya jika keadaan padang kering, kita mungkin melihat aksi lebih menarik. Apapun kejayaan ini tetap penting bagi meningkatkan moral pasukan,” katanya.

Karathu juga memuji persembahan penjaga golnya, Megat Amir Faizal yang bermain cemerlang untuk menghampakan wakil Kedah itu termasuk menepis keluar tandukan dari jarak dekat pada pertengahan perlawanan.

Sementara bagi pemain Kuala Muda-Naza, Zulhisyam Jamaluddin pasti sukar melelapkan mata berikutan kegagalannya menjaringkan gol apabila bola rembatannya terkena tiang sebelah kanan pada m-72.

Penyelaras pasukan yang berpangkalan di Sungai Petani itu, Zainal Abidin Abu Bakar seperti tidak percaya dengan nasib yang menimpa pasukan pelawat berikutan kegagalan menjaringkan gol daripada beberapa peluang yang diperolehi.

“Kami mengasak hebat pada satu ketika tetapi malangnya gol yang dicari tidak kunjung tiba,” katanya.

Bagaimanapun Zainal yang pernah bermain untuk Perak satu ketika dahulu berharap pemain tidak terlalu hampa kerana yakin Kuala Muda-Naza mampu bangkit dalam perlawanan berikutnya.

No comments:

Post a Comment