Tuesday, January 6, 2009

Gergasi Merah semakin garang - Kosmo

7 Jan 2009 Oleh WAN FAKHRUL BAKAR (fakhrul@kosmo.com.my)

PENYERANG Perlis, Nizaruddin Yussof (kanan) diasak pertahanan Pahang, Shukri Ismail pada perlawanan Liga Super di Stadium Utama Negeri di Kangar semalam.

SELANGOR terus garang.
Malam tadi, mereka mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Perak 3-1 di Stadium Shah Alam.

Kejayaan menjulang Piala Sumbangsih menewaskan Kedah 4-1 Sabtu lalu telah menggamit kehadiran lebih 10,000 penyokong setia skuad gergasi Merah itu.

Selangor yang mahu memburu gol awal kelihatan agak buntu di awal permainan kerana barisan pertahanan Perak begitu berdisiplin dan seakan sudah belajar daripada kesilapan dibelasah 5-1 oleh lawan yang sama pada aksi persahabatan dua minggu lalu.

Sedang Selangor rancak menyerang, Perak pula berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-29 selepas rembatan kencang penyerang Perak, Razali Umar Kandasamy daripada luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Gol tersebut yang sepatutnya membangkitkan semangat barisan muda Perak bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Selangor berjaya menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi Safee Sali yang mudah menyempurnakan hanratan kapten, Amri Yahyah pada minit ke-30 untuk mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bermula Selangor terus mempamerkan kegarangan tanpa memberi sebarang ruang kepada lawan mereka untuk bergerak.

Asakan berterusan tuan rumah akhirnya menemui sasaran apabila Amirul Hadi Zainal menjaringkan gol kedua pada minit ke-62 diikuti gol ketika jaringan Nasriq Baharom pada minit ke-85.

Sementara itu di Kangar, FAIZAL NAZARUDDIN melaporkan Perlis menang tipis 3-2 ke atas Pahang.

Pasukan tuan rumah ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Mohd. Azamuddin Md Akil pada minit kesembilan dan ke-24.

Bagaikan tersentak dengan dua gol itu, Perlis kembali mengatur serangan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nizaruddin Yusof yang menghasilkan dua gol pada minit ke-39 dan 45.

Sebaik babak kedua bermula, Perlis terus garang melancarkan serangan tetapi penyudah mereka tidak menepati sasaran.

Gol kemenangan mereka hadir pada minit-minit terakhir perlawanan menerusi jaringan hatrik Nizaruddin.

Pada perlawanan lain, kedah terus dihimpit malang apabila tewas 0-3 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi sementara Johor FC seri 2-2 dengan Pulau Pinang.

KL Plus turut melakar kemenangan apabila menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sementara UPB-MyTeam tewas 2-4 kepada Kelantan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling jaya.

KM Naza turut mencatat kemenangan apabila menewaskan PDRM 1-0 di Alor Setar.

No comments:

Post a Comment