Saturday, January 10, 2009

MB, tolong jelaskan - Kosmo

Jan 11, 2009

"SAYA hanya mahukan penjelasan lanjut daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mengenai perkembangan pembayaran gaji kami yang masih belum dibayar."

Ahmad Shahrul Azhar (kiri). Gambar ehsan perakfa.blogspot.com

Demikian jelas bekas ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar mengenai kemelut tunggakan gaji bekas pemain skuad Seladang dalam Liga Super musim lalu.

Shahrul berkata, beliau akan berjumpa dengan Nizar bagi membincangkan masalah tunggakan gaji mereka dalam masa terdekat ini.

"Sehingga kini, saya hanya mengetahui mengenai penangguhan pembayaran tunggakan gaji itu daripada laporan media sahaja," tambah bekas ketua pasukan Perak itu semalam.

"Saya berharap dapat diberi sedikit ruang untuk berjumpa dengan Menteri Besar."

Shahrul berkata, beliau dan rakan-rakan yang lain akan membuat tindakan susulan selepas berjumpa dengan Nizar kelak.

Sebelum ini, Nizar selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengakui persatuan itu tidak mempunyai dana yang mencukupi bagi melunaskan tunggakan gaji itu dalam masa terdekat.

Nizar berharap bekas-bekas pemain Perak itu bersabar kerana Pafa memerlukan sedikit masa untuk mencari dana bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Begitupun, Presiden Pafa itu tidak menyatakan tarikh tertentu untuk menyelesaikannya.

Pafa gagal melunaskan gaji pemainnya antara tiga hingga empat bulan pada penghujung Liga Super musim lalu.

Persatuan berkenaan didakwa gagal menjelaskan tunggakan gaji pemainnya yang mencecah antara RM6,000 hingga RM60,000.

Selain itu, bekas jurulatih, Steve Darby turut mendakwa bahawa Pafa juga berhutang dengannya berjumlah RM120,000.

"Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana ia merupakan hak pemain yang terkandung dalam kontrak," jelas Shahrul.

Pada 10 Disember lalu, beberapa bekas pemain Perak telah menghantar sepucuk surat kepada Pafa untuk mengetahui kedudukan tunggakan gaji mereka.

Surat itu adalah daripada sepuluh bekas pemain Perak yang salinannya turut dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Selepas beberapa rayuan, Shahrul agak terkilan kerana Pafa tidak memberi sebarang reaksi terhadap surat berkenaan.

No comments:

Post a Comment