Monday, January 12, 2009

Selangor padam populariti Kedah - Utusan

Jan 12, 2009

Oleh SAYED HESHAM IDRIS

Pemain Selangor, Mohd. Amirul Hadi Zainal (kiri) merembat bola sambil dihalang oleh lawannya dari Negeri Sembilan, Rezal Zambery Yahaya di Stadium Shah Alam, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Dengan hanya tiga perlawanan baru dilangsungkan, masih terlalu awal untuk meramalkan penyudah saingan Liga Super musim 2009, namun Selangor awal-awal lagi mempamerkan potensi calon juara.

Kemenangan 3-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, kelmarin meneruskan permulaan baik pasukan bimbingan K. Devan selepas memenangi Piala Sultan Ahmad Shah minggu lalu untuk berada di puncak liga dengan sembilan mata maksimum.

Tanpa mahu mendabik dada dengan tiga kemenangan bersih yang dilakar setakat ini, Devan mengakui permulaan baik bukan jaminan Selangor sudah mengesahkan kejuaraan namun prestasi itu, katanya, mampu menjanjikan penamat yang baik.

''Apa yang penting kedudukan di tangga teratas tidak mewujudkan tekanan malah pencapaian di awal musim merupakan tanda baik untuk kami menghabiskan musim ini juga baik.

''Untuk itu kami perlu meneruskan persembahan konsisten, jika ini diteruskan tidak mustahil Selangor mampu kembali ke era kegemilangan seperti sebelum ini,'' kata Devan ketika dihubungi di sini, semalam.

Jika di kem Devan penuh ceria, sebaliknya rakan sejawatnya di Kedah, Azrai Khor Abdullah masih tercari-cari sentuhan silam ketika membawa pasukan Kenari muncul juara 'treble berganda'.

Kedah sekadar mengutip satu mata selepas seri tanpa jaringan dengan Johor FC di Stadium Darulaman, Alor Star, kelmarin.

Menghuni di tangga ketiga tercorot Liga Super dengan satu mata, bukanlah sesuatu yang dijangkakan selepas gah dengan rekod enam piala dalam tempoh dua musim.

Azrai pastinya tercari-cari formula baru untuk mengembalikan sentuhan magisnya, juga untuk menafikan kritikan bahawa Kedah cemerlang selama dua musim disebabkan bantuan pemain import.

Di Stadium Sultan Mohamad IV pula, Kelantan mengotakan janji tidak patah semangat meskipun terpaksa memberi kemenangan percuma 3-0 kepada KL PLUS, apabila mengalahkan Kuala Muda Naza 2-1.

Dengan khidmat pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin dan bekas penyerang Perak, Khalid Jamlus, Daudsu Jamaluddin, Ahmad Azlan Zainal dan Norfarhan Mohd, Kelantan dilihat mampu mencabar pasukan elit yang lain.

Jika tidak kerana hukuman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memberikan kemenangan percuma kepada KL PLUS gara-gara Kelantan gagal melangsungkan perlawanan Liga Super minggu lalu, kedudukan Kelantan pastinya lebih baik dari di tangga keenam ketika ini.

Sebaliknya, pendatang baru KL PLUS meraih manfaat daripada kemenangan percuma ke atas Kelantan apabila menduduki tangga kedua, juga dengan sembilan mata dipisahkan menerusi perbezaan gol dengan Selangor.

KL PLUS meraih mata kesembilan selepas menewaskan Pahang 1-0 di Stadium Darulmakmur hasil jaringan Mohd. Lot Abu Hassan pada minit ke-72.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang lain pula ceritanya selepas pasukan tuan rumah mengejutkan Perlis 1-0, yang merupakan kemenangan pertama mereka hasil jaringan V Jaganathan pada minit ke-22.

Jurulatih pasukan pelawat, Irfan Bakti berang dengan mutu pengadilan kerana menafikan sekurang-kurangnya dua sepakan penalti untuk Perlis yang tidak diendahkan oleh oleh pengadil Lee Cheng Seng.

Perak pula masih boleh berbangga dengan prestasi semasa walaupun dibarisi para pemain muda apabila mencatat kemenangan kedua ke atas Polis 1-0 hasil jaringan Razali Umar Kandasamy.

Walaupun tidak diberikan harapan tinggi kerana hampir kesemua pemain utamanya berhijrah ke pasukan lain, ancaman Perak tidak boleh dipandang ringan kerana diterajui jurulatih berpengalaman dan terkenal dengan permainan taktikal, M. Karathu.

Terengganu pula pastinya mahu bangkit dari dua kekalahan awal selepas meraih kemenangan pertama ke atas UPB-MyTeam 2-0 kelmarin di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Perlawanan menentang Kuala Muda Naza esok boleh dijadikan detik kebangkitan pasukan dari pantai Timur itu pada saingan musim ini.

No comments:

Post a Comment