Friday, January 9, 2009

Harap sabar tunggu tunggakan - Kosmo

Jan 9, 2009 Oleh KUMARA SABAPATTY
kumara.sabapatty@kosmo.com.my

NAMPAKNYA bekas pemain bola sepak Perak terpaksa terus bersabar.

Ini kerana Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) masih kekurangan dana bagi melunaskan tunggakan gaji mereka.

Presiden Pafa, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pihaknya masih memerlukan lebih masa untuk menjelaskan tunggakan gaji tersebut.

"Pafa memang komited untuk menyelesaikan isu gaji tertunggak itu tapi disebabkan masalah kewangan, ia tidak dilakukan dalam masa terdekat.

"Dana yang ada pada kantung Pafa sekarang ini cukup-cukup untuk membiayai skuad muda Liga Super yang baru dibentuk," katanya selepas menghadiri majlis penajaan jersi jenama Joma kepada skuad Seladang di Ipoh semalam.

Beliau berkata, sebelum menyelesaikan tunggakan gaji tersebut, Pafa lebih cenderung untuk memastikan kebajikan pemain skuad musim ini dijaga terlebih dahulu.

"Kita akan pastikan setiap pemain dan kakitangan Pafa menerima gaji bulanan setiap 25 hari bulan dan segala caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso dilunaskan.

"Kita juga tak mahu pemain skuad baru ini menghadapi masalah pembayaran gaji sama seperti yang terjadi sebelum ini agar semangat mereka tidak luntur untuk mengharungi perlawanan," katanya.

PENGARAH Urusan Ever Well Sports (M) Sdn. Bhd. Ng Kin Meng (kiri) menyerahkan jersi khas kepada Muhammad Nizar pada majlis penajaan jersi jenama Joma di Ipoh, semalam

Mohammad Nizar yang juga Menteri Besar Perak turut menegaskan, kini terpulang kepada bekas pemain terbabit serta bekas jurulatih, Steve Darby untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Pafa mengenai isu berkenaan kerana dakwaannya melibatkan pengurusan sebelum ini.

Sebelum ini, Pafa didakwa gagal menjelaskan tunggakan gaji antara RM6,000 hingga RM60,000 bagi seorang pemain manakala Darby pula mendakwa persatuan itu turut berhutang dengannya RM120,000.

Ekoran itu, Darby mungkin merujuk kesnya kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika persatuan terbabit terus gagal melunaskan tunggakan gajinya.

No comments:

Post a Comment