Wednesday, January 14, 2009

Bintang muda dapat rentak kembali - Utusan

Jan 15, 2009

Pemain Negeri Sembilan, Nor Faizal Faroq (kanan) cuba melepasi pertahanan Perak, Mohd. Syazwan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, kelmarin.
- Bernama


SEREMBAN - Tuah bermain di gelanggang sendiri malam kelmarin kembali semarakkan semangat anak buah Wan Jamak Wan Hassan untuk menewaskan pasukan pelawat, Perak, 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, lapor AINOL AMRIZ ISMAIL.

Kemenangan itu juga telah menutup aib pasukan Negeri Sembilan yang tewas 0-3 kepada Selangor minggu lalu pada aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Kata Wan Jamak, barisan pemain sudah sedar kesilapan yang dilakukan dan mereka telah bangkit membetulkan rentak untuk merobek gawang Perak, sekali gus membawa pulang tiga mata penuh perlawanan berprestij ini.

"Kenapa semua jaringan tiga gol, sukar untuk saya jawab. Tetapi itu bukan halnya kerana tiga mata telah dikumpulkan dalam perlawanan menentang Perak ini, selepas kita kehilangan tiga mata pada pertemuan menentang Selangor minggu lalu.

"Hari ini bintang muda telah menunjukkan 'kuasa' luar biasa dan mereka seperti penggempur. Rentak itulah yang dikekalkan sehingga akhir permainan," katanya di sini, kelmarin.

Dalam aksi genting itu, Negeri Sembilan memperoleh gol seawal minit ke-8 menerusi Shahurain Abu Samah apabila dia menolak masuk bola muntah ke gawang lawan akibat salah faham barisan pertahanan skuad Seladang di dalam petak penalti.

Tiga minit kemudian, penyerang Mohd. Rahman Zabul pula menambah derita pasukan lawan apabila menjaring gol kedua hasil sepakan percuma Rezal Zambery Yahya.

Negeri Sembilan menceriakan penyokong tuan rumah apabila pemain kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak memberi gol ketiga selepas berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma Rezal pada minit ke-66.

''Dengan kombinasi matang antara pemain berpengalaman dengan bintang baru, kita lihat susah semakin serasi dan ia diterjemahkan dalam padang untuk menghasilkan kemenangan pada perlawanan ini," katanya.

Pasukan Negeri Sembilan yang ketika ini berada pada kedudukan ketiga dalam senarai Liga Super berkongsi sembilan mata dengan Selangor dan menyaksikan KL Plus menguasai carta dengan 12 mata.

No comments:

Post a Comment