Saturday, January 3, 2009

Kedah kena ganyang - Kosmo

4 Jan 2009 Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

JUARA treble musim lalu, Kedah tumbang di gelanggang sendiri.

Mereka diganyang oleh Selangor 4-1 pada perlawanan Piala Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah.

Lebih malang, kekalahan itu berlaku di hadapan penyokong sendiri di Stadium Darulaman, Alor Star malam tadi.

Yang pasti, keghairahan 30,000 penyokong tuan rumah untuk melihat Sang Kenari mencipta sejarah merangkul tujuh piala dalam masa dua tahun musnah dalam masa 90 minit gara-gara aksi cemerlang skuad Gergasi Merah yang dibimbing oleh K. Devan itu.

Selangor tidak menunggu lama untuk menghasilkan gol.

Selepas dua minit perlawanan bermula pasukan pelawat sudah mendahului 1-0 menerusi jaringan ketua pasukan, Amri Yahyah.

Pasukan tuan rumah yang cuba bangkit menyamakan kedudukan bagaimanapun gagal mendapatkan penyudah yang baik apabila cubaan mereka mudah dibaca lawan.

Kegagalan penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias menangkap kemas rembatan Mohd. Zameer Zainun pada minit ke-21 terus memberi tekanan pasukan tuan rumah yang terus dihimpit duka pada minit ke-36 apabila Selangor meledak gol ketiga menerusi Amri.

Pada babak kedua, tiada sebarang tanda bahawa Kedah akan bangkit memberi tentangan.

Sebaliknya mereka terus dihukum apabila kehilangan seorang pemain, Farizal Rozali yang diperintah keluar padang selepas bertindak kasar ke atas penjaga gol Selangor, Mohd. Nasril Nourdin.

SAFEE SALI (kiri) dihalang oleh pertahanan Kedah, Victor Andrag (tengah) pada aksi di Alor Star malam tadi.

Akibatnya, derita mereka semakin bertambah apabila Selangor memperoleh gol keempat menerusi jaringan Safee Sali pada minit ke-59.

Gol sagu hati Kedah hanya hadir pada minit ke-89 menerusi Khyril Muhymeen.

Pada perlawanan lain, Terengganu tewas 2-3 kepada Perlis di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, sementara PDRM pula dikalahkan UPB-MyTeam 0-3 di Paroi.

Pahang turut mengalami kekalahan di gelanggang sendiri apabila tunduk 2-3 kepada Johor FC, sementara Pulau Pinang tewas 0-3 kepada Negeri Sembilan juga di tempat sendiri.

No comments:

Post a Comment