Tuesday, January 13, 2009

KL Plus di atas - Utusan

Jan 14, 2009

Penjaga gol Selangor, Mohd. Hamsani Ahmad (kanan) berjaya menepis bola rembatan pemain Johor FC pada perlawanan Liga Super di Pasir Gudang semalam. Selangor bagaimanapun tewas 1-2 kepada tuan rumah. – Gambar RAJA JAAFAR ALI

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali dalam sejarah penyertaan mereka dalam Liga Super, KL Plus berjaya muncul sebagai pendahulu selepas membenamkan Pulau Pinang 3-1 pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, semalam.

Dengan merampas takhta liga daripada Selangor, KL Plus yang dibimbing Mat Zan Mat Aris kini mengumpul 12 mata sempurna daripada empat perlawanan.

Pada perlawanan semalam, Bobby Gonzales menjaringkan dua gol (m-49, 58) buat pasukan tuan rumah dan satu menerusi Nor Adli Mohd. Fauzi (m-37). Gol tunggal Pulau Pinang pula disumbang Mohd. Idzwan Salim (m-45).

Kejayaan KL Plus itu jelas sekali dibantu kekalahan mengejut 1-2 Selangor kepada Johor FC di Stadium J-Corp Pasir Gudang.

Walaupun Selangor lebih dulu mendahului menerusi penalti Safee Sali (m-10) tetapi Johor FC berjaya bangkit biar pun bermain 10 orang selepas penjaga golnya, Mohd. Anis Faron dibuang padang yang sekali gus menghadiahkan penalti dan gol pendahuluan buat Selangor.

Eddy Helmi Manan bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-20 sebelum Mohd. Hamzani Omar menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-71.

Juara bertahan, Kedah pula mencatat kekalahan ketiga daripada empat perlawanan awal mereka apabila dijinakkan Perlis 0-1 pada perlawanan di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan Mohd. Nizaruddin Yusof menerusi penalti selepas rakan sepasukan, Farizal Rozali dijatuhkan pemain Kedah, Shafizan Hashim pada minit ke-17.

Negeri Sembilan pula menewaskan Perak 3-0 pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk kekal berada di tangga ketiga liga di belakang KL Plus dan Selangor.

Gol-gol tuan rumah dijaringkan Shahurain Abu Samah (m-8), Mohd. Rahman Zabul (m-11) dan Mohd. Aidil Zafuan Razak (m-66).

Kuala Muda Naza juga mencipta kemenangan dengan menewaskan Terengganu 1-0 pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Star.

Sepakan percuma Anuar Jusoh pada minit ke-16 cukup untuk pasukan tuan rumah mencipta kemenangan kedua mereka musim ini.

Kelantan pula berpesta gol dengan membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-2 pada perlawanan yang ditukar venue pada saat akhir di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu.

Satu-satunya pasukan tuan rumah yang kalah semalam ialah UPB-MyTeam apabila tumpas 0-1 kepada Pahang di Stadium Petaling Jaya.

Gol kemenangan Pahang itu dijaringkan G. Ramachandran pada minit ke-20.

No comments:

Post a Comment