Wednesday, January 14, 2009

KL Plus kuasai persada - BHarian

Jan 14, 2009

Oleh Hussain Said, Wan Faizal Ismayatim, Rizar Mohd Nor, Kamudin Baharom dan Bashah Zainol Abidin (bhsukan@bharian.com.my)

PEMAIN Negeri Sembilan, Mohd Rahman Zabul meraikan kejayaannya menjaringkan gol kedua pasukan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. Tuan rumah menang 3-0.

Selangor terlepas pendahulu tewas di tangan Johor FC

KL Plus muncul pendahulu baru saingan bola sepak Liga Super selepas menewaskan Pulau Pinang 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ketika Selangor terlucut status itu gara-gara tewas 2-1 kepada Johor FC di Stadium JCorp, malam tadi.

Johor FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit kelapan selepas pengadil perlawanan, Sharif Shawal melayangkan kad merah kepada penjaga gol, Mohd Anis Faron kerana menjatuhkan Mohd Amirul Hadi Zainal dalam kotak penalti.

Berpunca daripada keputusan itu, skuad Merah Kuning yang dihadiahkan sepakan penalti berjaya mencipta jaringan awal menerusi Mohd Safee Sali pada minit kelapan yang mudah menewaskan Mohd Zaidi Ibrahim, penjaga gol yang mengisi tempat Anis.

Johor FC mengubah corak permainan dan berjaya menyamakan kedudukan minit ke 21 menerusi Eddy Helmi Manan dan kemudian memastikan kemenangan menerusi tandukan Hamzani Omar, minit ke-71 berpunca daripada sepakan percuma Syaiful Sabtu.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga selepas menewaskan Perak 3-0 dengan jaringan diperoleh menerusi sumbangan Shahurain Abu Samah (m-8), Rahman Zabul (m-11) dan Aidil Zafuan Abdul Radzak (m-66).

Di Stadium Utama, prestasi merudum Kedah berterusan apabila tewas 1-0 kepada Perlis yang memperoleh gol kemenangan menerusi sepakan penalti Nizaruddin Yusof (m-17).

Di Stadium Darulaman, Kuala Muda Naza mencatat kemenangan kedua musim ini selepas menewaskan Terengganu 1-0 hasil jaringan Anuar Jusoh (m-16) yang menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 25 meter.

Di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Kelantan bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum berjaya menewaskan Polis 4-2.

Polis mendahului menerusi jaringan Khairul Zal Azmi minit ke-21 dan Fauzi Abdul Majid (m-29), sebelum Kelantan membalas menerusi jaringan Indra Putra Mahayuddin (m-32), Rizal Nayan (m-36, gol sendiri), Rizal Fahmi (m-63) dan Badhri Radzi (m-90).

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, UPB-MyTeam gagal mengambil kesempatan beraksi di tempat sendiri selepas tewas 0-1 kepada Pahang yang memperoleh gol kemenangan menerusi R Gopinanth, minit ke-21.

No comments:

Post a Comment